Saturday 29 October 2016

Rusia nafi serang sekolah


29 OKTOBER 2016
Rusia nafi serang sekolah

Rusia nafi serang sekolah Seorang kanak-kanak Syria dirawat di sebuah hospital, selepas terkena serangan udara bandar Douma, timur Damsyik pada 26 Oktober lalu. - Foto AFP
MOSCOW - RUSIA. Kerajaan Rusia menafikan terlibat dalam serangan udara yang menyasarkan sebuah sekolah di Syria, 26 Oktober lalu dan menolak siasatan dibuat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa sekutunya di Damsyik menggunakan senjata kimia.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menuntut siasatan segera dilakukan ke atas serangan terhadap sebuah sekolah Rabu lalu, di wilayah Idlib yang dikuasai pemberontak, sambil menyatakan sekiranya serangan itu disengajakan, ia boleh dianggap sebagai jenayah perang.

Tentera Rusia yang menyertai pertempuran di Syria sejak September tahun lalu menafikan terlibat dalam serangan mengakibatkan 22 pelajar dan enam guru terbunuh, berdasarkan laporan agensi Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).

"Persekutuan Rusia tidak terlibat dalam serangan ataupun tragedi buruk itu," kata jurucakap Menteri Luar, Maria Zakharova yang juga mendakwa laporan pesawat pejuang Rusia dan Syria melancarkan serangan adalah satu penipuan selain penafian Menteri Pertahanan Rusia.

"Pada 26 Oktober lalu, tidak ada satu pun pesawat Rusia memasuki kawasan itu," kata jurucakap Menteri Pertahanan, Igor Konashenkov. - Reuters

Pemisah Syria lancar serangan besar-besaran di Aleppo

SABTU, 29 OKTOBER 2016 @ 11:19 AM



ASAP tebal naik ke udara berdekatan laluan menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo, Syria. - Foto Reuters

 ALEPPO: Pemisah Syria melancarkan serangan besar-besaran bertujuan memecahkan kepungan di daerah dikuasai pembangkang selama beberapa bulan di Aleppo, ketika sekutu rejim Russia menangguhkan serangan udara.

Pertempuran sengit, pengeboman dan bom kereta yang menggegarkan bandar raya di utara itu meragut sekurang-kurangnya 18 anggota tentera rejim dan anggota sekutu, menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), tetapi tidak dapat memberikan angka kematian dalam kalangan pemisah. Pernah menjadi kuasa ekonomi Syria, Aleppo digegarkan dengan konflik yang bermula Mac 2011 dengan bantahan antikerajaan dan sudah membunuh lebih 300,000 orang.

 Mengambil alih kawalan bandar raya itu, yang terbahagi antara timur yang dikuasai pemisah dan barat di tangan rejim Presiden Bashar al-Assad, adalah kunci menguasai utara Syria.

Serangan pada Jumaat dilancarkan lebih tiga bulan selepas timur Aleppo dikepung tentera kerajaan, yang dihuni lebih 250,000 penduduk, dan beberapa minggu selepas tentera memulakan operasi menawan semula timur bandar raya itu.

Kumpulan pemisah 'mengumumkan permulaan peperangan memecahkan kepungan di Aleppo', kata komander dan jurucakap kumpulan Ahrar al-Sham, Abu Yusef Muhajir.

 Serangan 'akan mengakhiri pencerobohan rejim di barat Aleppo dan memecahkan kepungan terhadap penduduk yang terperangkap,' katanya. Kumpulan pemberontak kini menguasai sebahagian besar kawasan kejiranan Dahiyet al-Assad, barat daya Aleppo, dengan pengecualian kawasan yang hampir dengan akademi tentera, menurut SOHR. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/207164

Syria guna kelaparan 'senjata perang' - AS

SABTU, 29 OKTOBER 2016 @ 10:33 AM
 FOTO hiasan. - Foto Reuters   

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menuduh rejim Syria menggunakan 'kelaparan' sebagai senjata perang', menurut Konvensyen Geneva, sekali gus meningkatkan retorik terhadap Presiden Bashar al-Assad dan penyokong kuatnya, Russia.

Menolak dakwaan Kremlin bahawa serangan ke atas Aleppo sudah dihentikan, pegawai AS memberitahu, 'rejim menolak permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar bantuan ke Aleppo Timur, menggunakan kelaparan sebagai senjata perang. Ia mencerminkan larangan Konvensyen Geneva menjadikan penduduk awam yang kelaparan sebagai kaedah perang. Kira-kira suku juta penduduk Aleppo dikepung dan dibom selama beberapa bulan, mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Washington, buat masa ini menimbangkan sekatan seterusnya terhadap Syria dan membawa keadilan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague. Pegawai berharap Presiden Vladimir Putin mungkin memikirkan semula pembabitan negaranya dalam perang yang menyaksikan senjata kimia dan bom tong digunakan terhadap penduduk awam. Terdahulu, Russia gagal memperoleh pemilihan semula di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menjadi tamparan diplomatik hebat kepada negara itu.

 "Kami mengambil beberapa langkah, sama ada meningkatkan tekanan awam atau bentuk tekanan lain. "Kami masih meneliti cara membuatkan mereka berasa bebanan kritikan antarabangsa. Kami ada beberapa petunjuk mereka tidak mahu dinilai sebagai bersalah melakukan jenayah perang, terutama Russia," kata pegawai kanan pentadbiran Presiden Barack Obama. - AFP
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/207150

Jet pejuang Russia, AS hampir bertembung

DUNIA SABTU, 29 OKTOBER 2016 @ 8:20 AM


JET Sukhoi SU-35 milik Russia. - Foto hiasan  


DAMSYIK: Jet pejuang Russia terbang secara bahaya berhampiran pesawat tempur Amerika Syarikat (AS) di timur Syria, kata pegawai pertahanan AS sehingga menonjolkan risiko kesilapan serius di ruang udara yang semakin sesak itu.

Kejadian 'hampir bertembung' itu berlaku pada lewat 17 Oktober, apabila jet Russia yang mengiringi kapal terbang pengintip lebih besar dipandu berhampiran pesawat tempur Amerika, kata jurucakap Tentera Udara, Leftenan Jeneral Jeff Harrigian.


Jet Russia berkenaan menghampiri pada jarak setengah kilometer dari pesawat Amerika.

Seorang lagi pegawai tentera Amerika yang enggan dikenali berkata, juruterbang pesawat Amerika terasa dipukul akibat pergolakan enjin jet Russia. Juruterbang Russia tidak nampak jet Amerika sama ada dalam radar atau secara visual.

Keadaan gelap dan pesawat terbang tanpa lampu. Kejadian itu membangkitkan persoalan serius mengenai sehingga tahap mana juruterbang dalam mengesan ruang udara kompleks yang diharungi mereka.

 Bimbang dengan kejadian seumpama itu, tentera pakatan diketuai Amerika menubuhkan hotline dengan Russia untuk membincangkan lokasi tepat dan misi pesawat.

 Dalam kes ini, juruterbang Amerika cuba menghubungi jet Russia menerusi rangkaian radio kecemasan Russia tetapi gagal. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/207140