Sunday 3 July 2016

43 maut dalam serangan di Syria


3 JULAI 2016
43 maut dalam serangan di Syria

43 maut dalam serangan di Syria Seramai 43 orang dianggarkan maut dalam serangan yang berlaku tersebut. - Foto Reuters
SYRIA - BEIRUT. Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) memaklumkan bahawa seramai kira-kira 43 orang maut melibatkan kanak-kanak dan kakitangan perubatan menerusi serangan yang dilakukan oleh tentera rejim terhadap bandar yang dikawal oleh pemberontak di Syria.

Ketua SOHR, Rami Abdel Rahman berkata, serangan udara dan pengeboman tersebut dilakukan oleh tentera kerajaan selama beberapa jam terhadap Jayrud iaitu sebuah bandar yang terletak kira-kira 60 kilometer ke arah timur laut Damsyik.

Rami berkata, dua anggota perubatan merupakan antara individu yang maut selain daripada wanita dan kanak-kanak.

Selain daripada itu, seorang daripada mangsa terlibat merupakan ketua pusat perubatan di Jayrud, Amjad al-Danaf.

Difahamkan, kebanyakkan aktivis bersedih di atas kematian Amjad dan berkata mangsa terbunuh sewaktu serangan udara ketika cuba merawat penduduk yang cedera.

Awal pagi ini, Abdel Rahman berkata, individu terkenal di Jayrud sudah mencapai satu perjanjian dengan pegawai kerajaan bahawa pejuang pemberontak akan meninggalkan bandar itu dan menyerahkan mayat juruterbang terbabit sebagai pertukaran menghentikan serangan.

Sebuah halaman Facebook dikendalikan oleh aktivis Jayrud yang menerbitkan berita mengenai bandar itu berkata, pemberontak mula menarik diri daripada pangkalan mereka di sekitar bandar berkenaan hanya dalam sekelip mata.

Gencatan senjata antara rejim dan wakil tempatan sebelum ini telah menenangkan bandar berkenaan selama lebih dua tahun.

Lebih daripada 280,000 orang telah terbunuh sejak konflik Syria tercetus pada Mac 2011 lalu. - Dailymail