Jurucakap tentera AS yang berpangkalan di Baghdad, Mejar Jeneral Peter Gersten mendakwa, serangan udara oleh AS telah beberapa kali menghalakan tempat-tempat simpanan wang kumpulan berkenaan sebagai sasaran.
Serangan itu jelasnya, memberi tamparan hebat kepada kedudukan kewangan kumpulan militan itu dan secara langsung `melemahkan’ usaha merekrut anggota baharu.
“Sekurang-kurangnya 20 sera-ngan udara dilancarkan terhadap lokasi-lokasi simpanan wang milik IS,” katanya dalam satu taklimat ringkas kepada media di sini semalam.
Pada 2014, Jabatan Perbendaharaan AS menyifatkan IS sebagai pertubuhan pengganas dengan memiliki kedudukan kewangan terbaik.
Gersten seperti dipetik oleh portal BBC bagaimanapun tidak mendedahkan butiran bagaimana AS mengetahui kedudukan jumlah wang IS yang telah dimusnahkan.
Namun beliau memberi anggaran iaitu sekurang-kurangnya AS$150 juta (RM587 juta) wang milik IS musnah semasa serangan udara ke atas sebuah rumah di Mosul, Iraq.
“Agak sukar menentukan jumlah keseluruhan wang milik IS yang musnah dalam serangan namun (jumlah tersebut) antara AS$500 (RM1.9 bilion) hingga AS$800 juta (RM3.1 bilion),” jelasnya.
Ujar beliau, hasil risikan mendapati, akibat masalah kewangan yang dihadapi kumpulan IS ketika ini, kumpulan itu terpaksa menjual kenderaan sebagai sumber baharu kewangan.
“Kami melihat semangat mereka semakin luntur,” kata Gersten.
Pada Januari lalu, Badan Pemantau Hak Asasi Syria melaporkan, kumpulan militan IS bertindak mengurangkan gaji anggota mereka kerana keadaan yang tidak dapat dielakkan yang sedang dilalui kumpulan tersebut.