Ketika kedua-dua pihak dilihat buntu berhubung cadangan peralihan kuasa, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menekankan tentang kesan konflik selama lima tahun di Syria, dengan menggesa supaya usaha diperhebat bagi menangani krisis pelarian Syria pada satu persidangan anjuran PBB di Geneva.
Dalam satu wawancara dengan agensi berita Rusia, RIA Novosti, Assad berkata, “Adalah logik untuk mewujudkan tentera bebas, tentera pembangkang dan tentera yang setia kepada kerajaan dalam pembentukan pihak berkuasa yang baharu.
Assad pada masa sama menolak cadangan kumpulan penentang yang mahukan pembentukan kerajaan baharu agar tidak melibatkan Presiden Syria itu, de­ngan menegaskan bahawa badan peralihan kuasa yang dicadang­kan kumpulan berkenaan adalah ‘tidak logik dan tidak mengikut Perlembagaan’.
“Tidak kira, sama ada Perlembagaan Syria, mahupun Perlembaga­an mana-mana negara di dunia, tidak wujud satu badan yang digelar sebagai kerajaan peralihan kuasa.
“Hanya sebuah kerajaan perpaduan kebangsaan yang menyediakan sebuah Perlembagaan baharu,” tegas Assad.
Rundingan yang diketuai utusan PBB ke Syria, Staffan de Mistura ditangguhkan pada minggu lalu de­ngan pihak terlibat masih me­nemui jalan buntu berhubung nasib Assad dengan pihak pembangkang Syria tetap bertegas bahawa Pre­siden tersebut perlu meletakkan jawatan sekiranya cadangan kerajaan peralihan dipersetujui.
Pembangkang utama Syria, Jawatankuasa Perundingan Tinggi dengan tegas menolak tuntutan daripada Assad supaya sebarang kerajaan peralihan akan melibatkan pentadbiran beliau.
“Resolusi Antarabangsa telah menyuarakan tentang pembentukan badan peralihan dengan kuasa penuh, termasuk kuasa Pre­siden,” kata anggota kanan HNC, Asaad al-Zoabi, sambil menambah kata, Assad, tidak seharusnya kekal walaupun untuk tempoh sejam selepas pemben­tukan badan itu.
Ketika mengulas temubual Assad itu, jurucakap White House, Josh Earnest berkata, penglibatan pemimpin Syria dalam badan peralihan berkenaan tidak membawa penyelesaian kepada konflik tersebut.
“Saya tidak tahu, apakah beliau membayangkan dirinya sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan itu, namun jelas, pengli­batannya bukanlah permulaan bagi kami,” kata Earnest.