Saturday 26 March 2016

Tentera Bashar mara di Palmyra

Beirut: Tentera Syria dilapor mara dalam pertempuran sengit dengan kumpulan pengganas Daish di bandar purba Palmyra, semalam, dalam serangan yang akan memberi peluang kepada askar yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad itu menguasai kawasan lebih besar di timur Syria.
Penguasaan terhadap Palmyra yang ditawan Daish pada Mei tahun lalu akan menandakan kejayaan paling besar Presiden Bashar al Assad sejak Russia campur tangan dalam perang saudara di negara itu September lalu.
Jet Russia masih meneruskan serangan untuk membantu tentera Bashar dan sekutunya ketika mara dalam serangan terhadap bandar padang pasir itu walapun Moscow baru-baru ini mengumumkan ia mengundurkan sejumlah besar tenteranya dari negara itu.
Seorang anggota komando Russia mati dalam pertempuran berhampiran Palmyra minggu lalu, menunjukkan pembabitan Kremlin di Syria adalah lebih serius daripada yang dinyatakannya.
Agensi berita rasmi Syria, SANA melaporkan, tentera negara itu dan sekutunya menawan lebih banyak kawasan tinggi di sekitar bandar berkenaan.
Kumpulan pemerhati hak asasi Syria pula berkata, pertempuran sengit terus berlaku di pinggir Palmyra.
Pengarahnya Rami Abdulrahman berkata, pertempuran juga berlaku di tapak runtuhan era Roman yang terletak di barat daya Palmyra, tempat tentera Syria tidak boleh bergantung pada bantuan udara kerana bimbang kerosakan lebih teruk akan berlaku di tapak purba itu.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 8:24 AM


KERETA kebal tentera Syria dirakam ketika mara menghampiri Palmyra.

Rusia hantar tentera khas

25 MAC 2016
Komander Kontinjen Rusia di Damsyik, Kolonel Jeneral Alexander Dvornikov

 Dvornikov 


DAMSYIK - SYRIA. Rusia telah menggerakkan kumpulan unit khas di Syria untuk melakukan peninjauan dan tugas lain di negara bergolak itu, menurut komander kanan tentera, kelmarin.
Komander Kontinjen Rusia di Damsyik, Kolonel Jeneral Alexander Dvornikov turut mengesahkan penghantaran pasukan tempur untuk operasi darat di negara tersebut.
"Saya tidak akan berdolak dalik mengenai perkara itu. Mereka sememangnya ditugaskan untuk meninjau situasi, memberikan maklumat sasaran sebelum serangan udara dilancarkan," katanya.
Menurutnya lagi, pasukan yang berperanan sebagai penasihat itu juga akan membantu rakan mereka untuk merancang dan melancarkan misi serta belajar mengendalikan kelengkapan ketenteraan.
Difahamkan, pasukan berkemahiran tinggi diperlukan untuk melakukan misi peninjauan itu bagi membolehkan mereka mengumpul maklumat mengenai sasaran tersembunyi menerusi pengawasan udara dan satelit. - Press TV