Program rancangan televisyen SRF 10 vor 10 news memaparkan, resit daripada seorang pelarian Sy­ria yang mendakwa, menerimanya da­ripada pihak berkuasa Switzerland selepas menyerahkan hampir separuh daripada wang yang dimiliki.
Rancangan berkenaan turut menunjukkan kertas maklumat yang menyebut, ‘Jika anda memiliki barangan bernilai lebih daripada 1,000 Swiss Franc (RM4,362) ketika tiba di pusat pendaftaran, anda perlu menyerahkannya untuk me­nerima resit kemasukan.’
SRF menyatakan ketetapan ter­sebut telah diluluskan oleh Jabatan Sekretariat Migrasi Negeri (SEM) yang mahu pencari suaka dan pelarian memberikan sumbangan mengikut kemampuan bagi menampung kos pemprosesan dan penyaluran bantuan sosial.
“Jika pelarian terbabit meninggalkan negara ini secara sukarela dalam tempoh masa tujuh bulan, mereka boleh menuntut semula wang yang telah diserahkan. Jika tidak wang berkenaan akan diambil untuk kegunaan jabatan,” kata jurucakap SEM.
Selain itu, mana-mana pelarian yang menerima hak untuk menetap dan bekerja di negara ini untuk menyerahkan 10 peratus daripada gaji mereka selama 10 tahun bagi membayar kos pembiayaan mereka yang bernilai 15,000 Swiss Franc (RM65,523).
“Ini adalah satu tindakan tidak senonoh yang perlu diubah segera,” kata seorang sukarelawan bantuan perubatan pelarian Schweizerische Fluechtlingshilfe, Stefan Frey.
Sebelum ini, Denmark pernah menguatkuasakan peraturan sama sebelum mengubahnya selepas menerima tekanan hebat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – REUTERS