Wednesday 21 December 2016

Duta Rusia mati ditembak di Turki






KARLOV rebah ke lantai selepas ditembak beberapa kali, manakala penyerangya dibunuh oleh pihak polis.- REUTERS

ANKARA – Seorang anggota polis Turki dilaporkan menjerit ‘Aleppo’ dan ‘Tuhan Maha Besar’ selepas menembak mati Duta Rusia ke Turki, Andrei Karlov (gambar kecil) di sebuah galeri seni di Ankara kelmarin.

Pembunuhan itu mendorong Presiden Rusia, Vladimir Putin berjanji untuk menggandakan usaha memerangi keganasan.

Karlov mati akibat kecederaan selepas ditembak beberapa kali di hadapan isterinya di sebuah dewan pameran di Ankara. Beliau meninggal dunia menjelang mesyuarat penting di Moscow semalam yang melibatkan Menteri Luar Rusia, Turki dan Iran bagi membincangkan konflik Syria.

Rakaman video dramatik memaparkan detik lelaki bersenjata itu menembak Karlov di belakang ketika beliau bersiap sedia untuk merasmikan pa­meran fotografi Rusia.

Diplomat itu berdiri di podium untuk berucap sebelum rebah ke lantai serentak bunyi beberapa das tembakan. Anggota polis itu menjerit ‘Tuhan Maha Besar’ dan bercakap tentang jihad dalam bahasa Arab.

Suspek kemudian bertutur dalam bahasa Turki dan berkata: “Jangan lupa tentang Syria, ja­ngan lupa pasal Aleppo. Semua yang mengambil bahagian dalam kezaliman ini harus dipertanggungjawabkan”.

Menurut agensi berita rasmi Anadolu, lelaki bersenjata itu telah ‘ditumpaskan’ dalam operasi polis di dewan itu selepas pertempuran selama 15 minit berikutan dia enggan menyerah diri.

Gambar suspek terbaring di lantai dengan badannya penuh kesan tembakan mula tersebar di media sosial.

Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu mengesahkan identiti penyerang sebagai Mevlut Mert Altintas dan berusia 22 tahun. Dia berkhidmat dengan unit antirusuhan di Ankara sejak dua setengah tahun lalu.

Ibu, bapa dan adik perempuannya dilaporkan ditahan untuk soal siasat di kediaman mereka di barat Turki.

Pembunuhan itu berlaku beberapa hari selepas tunjuk pe­rasaan diadakan di Turki bagi membantah campur tangan Rusia di Syria.

Sementara itu, Putin meng­anggap pembunuhan Duta Rusia itu sebagai tindakan ‘provokasi’ bertujuan untuk menjejaskan hubungan yang dibina antara Moscow dan Ankara serta usaha menyelesaikan konflik Syria.

“Hanya ada satu jawapan untuk ini, iaitu menggandakan usaha memerangi keganasan,” kata Putin. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1221&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4TTN7YVU0
Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment