Monday 28 November 2016

Doktor tentukan hidup, mati



KANAK-KANAK Syria memungut kayu api di tengah runtuhan bangunan yang musnah dalam serangan udara kerajaan Syria di timur Aleppo, baru-baru ini. - Reuters


Agensi
Aleppo (Syria): Doktor di timur Aleppo terpaksa membuat keputusan sukar, memilih pesakit kanak-kanak yang perlu dibiarkan mati atau yang hendak dibantu supaya terus hidup selepas bekalan ubat di wilayah itu semakin berkurangan.

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) dan pertubuhan lain bersedia menghantar bantuan yang amat diperlukan itu, namun konvoi mereka tidak dapat memasuki bandar berkenaan kecuali pihak bertelagah membuka laluan.

Penolong Pengarah UNICEF, Justin Forsyth berkata: “Keadaan kami amat terdesak. Kanak-kanak bukan saja kekurangan makanan, malah turut dibom. Doktor semakin kehabisan bekalan ubat.

“Satu pasukan doktor dan jururawat memberitahu kami, mereka terpaksa memilih kanak-kanak yang perlu dibiarkan mati.

“Mereka yang cedera paling teruk terpaksa dibiarkan mati disebabkan bekalan ubat begitu meruncing.”

Katanya, pihaknya menunggu peluang memasuki Aleppo untuk membawa barangan keperluan asas seperti ubat-ubatan dan makanan.

“Malangnya kami tidak dapat membawa masuk semua bantuan itu kerana pihak bertelagah enggan memberi kebenaran walaupun bekalan air, makanan dan ubat-ubatan semakin berkurangan.

“Ratusan kanak-kanak terbunuh di Aleppo sejak beberapa bulan lalu dan mereka semakin putus harapan,” katanya.

PBB minggu lalu menganggarkan hampir sejuta penduduk Syria kini hidup di kawasan yang terkepung, berbanding 393,700 pada tempoh sama tahun lalu.

UNICEF percaya seorang dalam setiap tiga kanak-kanak Syria tidak pernah merasai hidup dalam keadaan aman selepas perang saudara di Syria meletus pada 2011. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 10:53 AM

No comments:

Post a Comment