Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry semalam berkata, campur tangan Rusia akan memberi tamparan hebat kepada kumpulan militan Negara Islam (IS) di negara bergolak tersebut.
“Penyertaan Rusia, berdasarkan potensi dan kemampuan negara itu, dilihat akan membawa kesan ke atas mengehadkan dan menghapuskan keganasan di Syria,” katanya dalam wawancara dengan satu stesen televisyen.
Mesir sebelum ini mengelak daripada menunjukkan sokongan kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad dan kenyataan Sameh dilihat sebagai tanda-tanda hubungan semakin baik antara Rusia dan Kaherah.
Dalam pada itu, laman web BBC melaporkan, AS, Turki dan anggota bersekutu lain dalam satu kenyataan, kelmarin meminta Moscow menghentikan segala serangan udara yang mereka dakwa menyasarkan kumpulan penentang kerajaan Syria dan orang awam.
Tentera bersekutu berkata, campur tangan Rusia hanya akan meningkatkan lebih banyak fahaman pelampau.
Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, beliau menyasarkan IS dalam serangan berkenaan dan membantu Assad yang merupakan sekutu rapat Moscow di rantau itu.
Bagaimanapun, AS bimbang Moscow cuba membantu mempertahankan kedudukan Assad yang dilihat Washington perlu berundur daripada jawatannya. – AGENSI