Friday 22 May 2015

IS kuasai sebahagian wilayah Syria

IS kuasai sebahagian wilayah Syria
IS didakwa telah menguasai satu pertiga dari bandar purba, Palmyra. Foto: AFP

BEIRUT - LEBANON. Kumpulan militan IS didakwa telah menguasai lebih separuh daripada wilayah Syria selepas mereka mara ke bandar Palmyra, menurut kumpulan pemerhati hak asasi manusia (HRW), semalam.

Jurucakapnya memaklumkan IS berjaya merampas bandar purba di tengah wilayah Homs tersebut daripada kawalan tentera kerajaan, lewat kelmarin selepas melancarkan serangan ganas sejak beberapa hari lalu.

"Mereka turut menguasai kawasan yang tidak didiami penduduk selain bandar utama di Syria," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), Rami Abdel Rahman mengesahkan IS telah menawan satu pertiga daripada Palmyra untuk tempoh kali kedua selepas mereka menguasai utara bandar purba terbabit.

Susulan daripada itu, ribuan penduduk telah dipindahkan selepas situasi semakin meruncing akibat kemaraan IS.

Dalam satu kenyataan lain, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) menggesa masyarakat antarabangsa supaya bertindak untuk melindungi bandar Palmyra yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh agensi tersebut.

"Pihak terlibat perlu menghormati kewajipan antarabangsa untuk melindungi tinggalan sejarah walaupun ketika konflik tercetus," tegas Ketua Pengarah Unesco, Irina Bokova.

Dalam perkembangan berkaitan, ratusan artifak dari muzium Palmyra telah dipindahkan dari bandar tersebut sebagai langkah berjaga-jaga. - Reuters

IS kuasai Palmyra

Beirut: Kumpulan militan Negara Islam (IS) dilapor memasuki bandar purba Palmyra di Syria selepas menguasai sepenuhnya bandar berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini, belum ada laporan kumpulan berkenaan memusnahkan antikuiti di bandar itu.
Pengarah kumpulan pemerhati Syria bagi Hak Asasi yang berpusat di Britain, Rami Abdulrahman berkata, IS menguasai pangkalan udara tentera dan penjara bandar berkenaan selepas melancarkan serangan besar-besaran, Rabu lalu.
Dalam kenyataan yang dimuat naik ke Twitter oleh penyokongnya, IS berkata, ia kini menguasai sepenuhnya bandar berkenaan, termasuk kemudahan tentera selepas tentera dan milita prokerajaan berundur dengan meninggalkan sejumlah besar mayat rakan mereka yang terbunuh.
Menurut Abdulrahman, sekurang-kurangnya 100 militan prokerajaan terbunuh sepanjang pertempuran, kelmarin.
Ini kali pertama IS menawan secara langsung sebuah bandar daripada tentera Syria dan penyokongnya.
Kumpulan itu memusnahkan antikuiti dan monumen purba di Iraq dan wujud kebimbangan ia akan melakukan perkara serupa di Palmyra, antara kawasan purba Warisan Dunia terpenting di Asia Barat.
Serangan besar-besaran ke atas bandar itu yang bermula seminggu lalu adalah sebahagian daripada kemaraan IS ke barat Syria.
Kejatuhan Palmyra berlaku beberapa hari selepas IS menawan Ramadi, ibu negeri Anbar, wilayah di Iraq, sekali gus memberi tamparan kepada usaha Amerika Syarikat untuk menumpaskan kumpulan berkenaan.
Menurut Rami, IS kini menguasai lebih separuh wilayah Syria.
Televisyen Syria semalam melaporkan, tentera kerajaan berundur dari Palmyra selepas berjaya memindahkan hampir semua penduduk awamnya.
Gabenor wilayah Homs yang termasuk Palmyra, Talal Barazi berkata, kebanyakan penduduk bandar purba itu melarikan diri ke bandar Homs dan Damsyik.
Monumen purba Palmyra atau dikenali Tadmur terletak di pinggir barat daya bandar modennya dan dimasukkan dalam ‘senarai dalam bahaya’ oleh Warisan Dunia UNESCO pada 2013.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 6:48 AM


MAYAT bergelimpangan dipercayai penduduk Palmyra yang dibunuh militan IS selepas mereka menawan bandar itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52615#sthash.Av1B1ZWx.dpuf

Kota sejarah Palmyra berisiko dimusnahkan IS


BEBERAPA pelancong bergambaar di sebuah dewan teater kuno di kota Palmyra pada 2008. - REUTERS


DAMSYIK – Kemusnahan Palmyra yang merupakan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) akan menjadi kehilangan besar untuk umat manusia, kata ketua organisasi berkenaan semalam selepas kota kuno di Syria itu ditawan kumpulan militan Islamic State (IS).
“Palmyra merupakan Tapak Wa­risan Dunia luar biasa yang terletak di gurun, manakala kemusnahannya bukan sahaja menjadi jenayah perang tetapi kerugian besar buat umat manusia,” kata ketua UNESCO, Irina Bokova.
Menurut Bokova, beliau amat bimbang berhubung situasi di Palmyra dan merayu satu gencatan senjata serta- merta diadakan dengan semua pihak bertelagah berundur dari kota itu.
“Palmyra menjadi tempat kelahiran tamadun manusia. Ia milik sejagat dan saya fikir semua orang perlu bimbang tentang apa yang berlaku,” ujarnya.
Terdahulu semalam, IS menawan keseluruhan kota berusia 2,000 tahun tersebut selepas mengusir tentera rejim Presiden Bashar al-Assad sekali gus menyebabkan Tapak Warisan Dunia itu dan artifaknya berdepan risiko kemusnahan.
Militan IS kerap memusnahkan harta arkeologi sejak ia menakluki sebahagian besar wilayah di Syria dan Iraq pada tahun lalu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3aoeX04Mu 
Hakcipta terpelihara 

Militan IS sudah tawan sebahagian besar wilayah Syria


Orang ramai dan anggota unit kecemasan Syria berusaha mencari

Orang ramai dan anggota unit kecemasan Syria berusaha mencari mayat mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan akibat terkena bedilan bom tong oleh tentera Syria di daerah Qadi Askar, Aleppo, baru-baru ini. AFP
BEIRUT 21 Mei – Kumpulan militan Negara Islam (IS) dilaporkan sudah menawan sebahagian besar wilayah Syria, susulan kejayaannya menguasai sepenuhnya bandar purba Palmyra, lewat malam semalam.
Kumpulan militan IS kini dilaporkan menguasai timur dan utara Syria, kawasan yang bukan merupakan lokasi utama penduduk seperti di Damsyik dan beberapa bandar utama lain yang kebanyakannya berada di bahagian barat negara ini iaitu berhampiran dengan sempadan Lebanon.
Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdulrahman berkata, IS kini menguasai pangkalan tentera udara, penjara dan ibu pejabat unit risikan di bandar Palmyra, selepas melancarkan serangan besar-besar, semalam.
Kata Rami, berdasarkan maklumat sumber terdekat sekurang-kurangnya 100 askar kerajaan terkorban dalam pertempuran tersebut.
Namun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada berlaku sebarang kemusnahan ke atas tinggalan sejarah di bandar itu.
Rangkaian televisyen Syria lewat malam semalam melaporkan, pasukan keselamatan pro-kerajaan berjaya melarikan diri selepas berjaya mengeluarkan kebanyakan penduduk di bandar berkenaan.
“Serangan kumpulan militan IS di Palmyra bertujuan untuk membalas dendam terhadap masyarakat dan ketamadunan Syria,” kata Ketua Jabatan Antik Syria, Maamoun Abdulkarim.
Maamoun berkata, sebelum ini beratus-ratus monumen telah dipindahkan ke tempat yang selamat, namun beliau bimbang IS akan memusnahkan muzium dan monumen besar yang masih berada di bandar berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/militan-is-sudah-tawan-sebahagian-besar-wilayah-syria-1.94327#sthash.Dk8HAqXX.dpuf