Saturday 2 May 2015

Kumpulan baharu perangi IS


KUMPULAN Jaysh Al-Islam yang menentang IS mempamerkan kekuatan mereka dalam satu perarakan tentera baru-baru ini. - AGENSI


DAMSYIK – Satu kumpulan baharu untuk menentang militan Islamic State (IS) dan rejim Syria menyiarkan satu rakaman video mempamerkan 1,700 anggota dalam satu perarakan ketenteraan baru-baru ini.
MailOnline melaporkan, perarakan besar-besaran itu turut memperlihatkan barisan kereta kebal dan pasukan khas tentera sempena meraikan ‘majlis graduasi’ ahli kumpulan berkenaan.
Kesemua mereka membentuk satu kumpulan kecil dinamakan Jaysh Al-Islam atau bermaksud Tentera Islam yang dilaporkan mempunyai sebanyak 25,000 ahli berikutan penggabungan lebih 60 puak pemberontak di Syria.
Berpuluh-puluh anggota unit khas bertopeng turut mempamerkan kemahiran pertempuran jarak dekat dalam perarakan ketenteraan terbesar yang pernah disaksikan sejak berlakunya revolusi Syria pada 2011.
Kumpulan yang bertindak menentang pemerintahan Presiden Syria, Bashar Al-Assad ini didakwa menerima dana daripada kerajaan Arab Saudi.
Menurut The Guardian, kerajaan Arab Saudi telah menyumbang wang berjuta-juta dolar bagi mengalahkan rejim Syria dan militan IS.
Jaysh Al-Islam diketuai oleh Sheikh Zahran Aloush yang mentadbir beribu-ribu tentera dan kereta kebal ketika berkumpul di satu kawasan lapang.
“Kami akan meninggalkan medan ini selepas menyelesaikan misi dan bersedia untuk jihad,” ujar Zahran. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3Yw65G8Nt 
Hakcipta terpelihara