Wednesday 22 April 2015

Tahan kapten kapal karam


Agensi
Sicily (Itali): Pihak berkuasa Itali semalam menangkap kapten bot warga Tunisia dan anak kapal dari Syria yang terbabit tragedi bot karam di pesisir pantai Libya yang menyebabkan 800 pendatang terbunuh.
Mereka ditahan di atas bot penyelamat yang menyelamatkan 27 mangsa daripada bangkai kapal berkenaan.
Menurut pendakwa, kedua-duanya dituduh menyokong aktiviti penyeludupan manusia selain kapten terbabit turut didakwa menyebabkan kapal karam selain bersikap semberono sehingga menyebabkan pembunuhan beramai-ramai.
Pendakwa berkata kejadian berlaku akibat dua faktor. Kapten Mohammad Ali Malek, 27, secara tidak sengaja merempuh sebuah kapal kargo Portugis yang datang membantunya.
Pada masa sama, pendatang terbabit bergerak-gerak di dalam bot yang terlebih had muatan itu. Disebabkan itu, kapal yang sudah tidak seimbang akibat pelanggaran dengan kapal Portugis berkenaan terus karam.
Mangsa terselamat dibawa ke pusat penahanan migran di Catania dan masih dalam keadaan terkejut selain keletihan, kata Flavio Di Giacomo dari Pertubuhan Antarabangsa Migrasi (IOM).
Sementara itu, pejabat pendakwa Catania Giovanni Salvi menegaskan anak kapal Portugis terbabit tidak disiasat kerana tidak bersalah langsung sebaliknya berusaha keras membantu mangsa.
Kesatuan Eropah (EU) mencadangkan supaya kawasan operasi mencari dan menyelamat di perairan Mediterranean diperluaskan dalam pada 800 mayat pendatang yang cuba memasuki Eropah itu dibawa ke darat.
Jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian (UNHCR) di Itali Sami Carlotta berkata: “Kita boleh katakan 800 terkorban.”
Kejadian itu mengejutkan Eropah apabila keputusan menarik balik operasi tentera laut pada tahun lalu dilihat mempertingkatkan risiko dihadapi pendatang ke negara itu sedangkan jumlah mereka tidak berkurangan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45421#sthash.NTz4pNF5.dpuf