NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) telah membuat rayuan untuk suntikan dana sebanyak AS$30 juta (RM108 juta) bagi membantu penduduk yang terperangkap di kem pelarian Yarmouk di Syria.

Agensi tersebut berkata, bantuan tersebut amat diperlukan memandangkan ribuan pelarian Palestin dan warga Syria masih terperangkap di kem berkenaan sejak ia dikuasai kumpulan militan IS, awal bulan ini.

"Kami amat berterima kasih kepada penderma-penderma utama yang menyedari betapa terdesaknya situasi di Yarmouk.

"Apa pun, selagi dana tidak mencukupi kami tidak boleh mengubah situasi di kem tersebut," kata Pengarah UNRWA bagi Syria, Micheal Kingsley-Nyinah.

Kem pelarian Yarmouk di Damsyik menempatkan kira-kira 18,000 pelarian Palestin dan warga Syria termasuk 3,500 kanak-kanak.

Kem Yarmouk digempur IS pada 1 April lalu, sekali gus menambah kesengsaraan pelarian yang sebelum ini berdepan kebuluran.

Difahamkan, kumpulan militan menguasai hampir 90 peratus kem tersebut. - Press TV