Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, serangan ke atas wilayah Ghouta Timur itu dilancarkan sebagai membalas serangan kumpulan pemberontak yang melancarkan lebih 120 roket ke Damsyik yang mengakibatkan 10 orang terbunuh termasuk kanak-kanak.
Kumpulan pemantau yang berpangkalan di Britain itu berkata, sekurang-kurangnya 140 orang turut cedera dalam serangan balas itu, dan menambah kata, pasukan keselamatan turut melepaskan beberapa peluru berpandu ke arah kubu pemberontak.
Serangan balas itu dilancarkan selepas kumpulan pemberontak melepaskan 70 roket dan motar di sekitar pusat bandar Syria, membunuh tujuh orang awam termasuk seorang anggota polis.
“Dalam beberapa minit sahaja jalan raya yang sibuk menjadi kosong,” kata seorang penduduk di kawasan Baramkeh.
Tambahnya, pengetua sebuah sekolah terpaksa membawa anak muridnya ke tempat perlindungan.
Kumpulan pemberontak Jaysh al-Islam memberi amaran dua hari lalu bahawa pihaknya akan melancarkan serangan peluru berpandu di pusat bandar sebagai serangan balas terhadap serangan udara oleh tentera kerajaan ke atas kubu mereka di Douma di Ghouta Timur.
Ketua kumpulan pemberontak itu, Zahran Alloush berkata, Damsyik kini disifatkan sebagai sebuah kawasan zon ketenteraan dan sasaran pemberontak.