Saturday 27 September 2014

3 lelaki bawa bendera kumpulan pengganas ke Syria ditahan di KLIA


KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penangkapan tiga lelaki warga tempatan yang disyaki merancang untuk berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas Negara Islam (IS) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kelmarin.
Beliau berkata, dua daripada suspek yang ditangkap berumur 26 tahun dan masing-masing bekerja sebagai juruteknik dan arkitek, manakala seorang lagi suspek berumur 42 tahun yang mengendalikan perniagaan kedai runcit.
Turut dirampas sehelai bendera kumpulan pengganas IS milik seorang daripada suspek itu.
"Kesemua mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA, kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan dan siasatan mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012," kata Khalid dalam kenyataan semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3EVQ5rp3q 
Hakcipta terpelihara 

Fahami konsep jihad sebelum berjuang di Syria - Jailani Johari


HULU TERENGGANU 27 Sept. - Rakyat Malaysia khasnya belia harus memahami konsep jihad sebenar mengikut Islam sebelum membuat keputusan untuk berjihad di Syria sebagaimana yang disiar di laman sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, generasi muda perlu berfikiran jauh agar tidak terpengaruh dengan fakta yang tersebar di laman sosial yang cuba mengelirukan rakyat Malaysia.
"Ramai anak muda di Malaysia ini ingin berjihad di Syria, tidak semestinya kita ingin berjihad kita perlu pergi ke sana untuk berjuang sedangkan di Malaysia juga mereka boleh berjuang dalam pelbagai bidang, jadi mereka perlu faham konsep terlebih dahulu sebelum berjuang.
"Sekarang ini, semakin banyak laman web dan blog menyiarkan pelbagai fakta menggelirukan rakyat Malaysia dan kita harap anak muda tidak cepat terpengaruh menerusi penyebaran di laman sosial berkenaan," katanya selepas menyempurnakan penyampaian pingat sempena Mesyuarat Agong Tahunan PV-ATM di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penangkapan tiga lelaki warga tempatan kerana disyaki merancang untuk berlepas ke Syria bagi tujuan menyertai kumpulan pengganas Negara Islam (IS) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
Jailani meminta orang ramai membuat laporan kepada pihak berwajib sekiranya masih ada laman web yang cuba menggelirukan rakyat negara ini.
"Jika masih ada laman web yang wujud dengan cuba memutarbelitkan fakta, kita minta orang ramai tampil membuat laporan kerana kita tidak mahu orang ramai terjerumus kepada perkara yang tidak benar di luar sana. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140927/dn_25/Fahami-konsep-jihad-sebelum-berjuang-di-Syria---Jailani-Johari#ixzz3EVE5mQ6u
© Utusan Melayu (M) Bhd