DAMSYIK - SYRIA. Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), semalam melaporkan jumlah pelarian Syria kini mencecah tiga juta orang selepas krisis semakin meruncing di negara itu.

Laporan UNHCR menunjukkan negara bergolak tersebut kini menjadi bencana kemanusiaan terbesar pada era ini kerana hampir sebahagian daripada penduduk Syria terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat kemelut berpanjangan itu.

"Satu daripada lapan penduduk Syria merentasi sempadan pada setiap hari. Kira-kira 6.5 juta penduduk lagi kehilangan tempat tinggal dan masih terperangkap di zon konflik terbabit," menurut sebahagian daripada laporan tersebut.

Agensi antarabangsa itu turut menyuarakan kebimbangan mereka terhadap nasib pelarian yang merentasi sempadan untuk ke timur Jordan kerana mereka dipaksa untuk membayar 'wang perlindungan' kepada orang tengah.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Fiji, Voreqe Bainimarama memaklumkan rundingan sedang dijalankan untuk membebaskan 43 tentera pengaman dari negara tersebut yang kini berada dalam genggaman kumpulan militan di Bukit Golan.

Pasukan Pemerhati Pengunduran PBB (Undof) itu ditahan ketika pertempuran tercetus antara kumpulan militan dan tentera Syria di kawasan tersebut, laporan dipetik dari AFP.