DAMSYIK - SYRIA. Laman web berita di Al-Araby mendedahkan, Amerika Syarikat (AS) secara rahsia bekerjasama dengan rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad untuk menyerang Negara Islam (IS) di Syria dan Iraq.

Menurut East Monitor, laporan itu diperoleh selepas Presiden Barack Obama mengarahkan serangan udara terhadap kumpulan militan berkenaan diperluaskan bukan sahaja di Iraq tetapi meliputi Syria.

Jurucakap Rumah Putih Josh Earnest bagaimanapun menolak kerjasama itu walaupun Assad menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Washington.

Damsyik terdahulu memberi amaran kepada AS supaya tidak melakukan serangan pencerobohan udara tanpa kebenarannya.

Sumber rasmi Syria pula mendedahkan, AS mula menyalurkan maklumat tentang IS kepada Damsyik melalui Baghdad dan Moscow.

Pengarah Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdulrahman mendakwa, sebuah pesawat bukan milik Syria dilaporkan berada di ruang udara negara itu semalam bertujuan mengumpul semua data pergerakan IS.

Dalam perkembangan sama, Kumpulan pemisah Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mengutuk kegiatan militan di Iraq dan Syria dan berjanji akan menghentikan penyebaran virus golongan terbabit ke negara Asia Tenggara.

MILF dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan mengekang ideologi ganas kumpulan terbabit daripada menular ke negara berkenaan.