Monday 5 May 2014

2 kumpulan penentang di Syria bertempur


Bangunan-bangunan di sebuah kawasan perumahan rosak teruk akibat pertempuran antara kumpulan penentang dan tentera kerajaan di Zamalka, pinggir Damsyik, kelmarin. - REUTERS
BEIRUT 4 Mei - Kira-kira 60,000 penduduk di timur Syria terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing ekoran pertempuran antara dua kumpulan penentang kerajaan Syria di beberapa buah bandar.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria semalam berkata, sayap al-Qaeda di Syria, Barisan Nusra mengambil alih bandar beberapa buah bandar daripada bekas sekutunya, Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL).
Menurut badan itu, sekurang-kurangnya 62 anggota daripada kedua-dua kumpulan tersebut terbunuh dalam pertempuran selama empat hari yang menyaksikan bandar Abreeha, al-Busayrah dan al-Zir yang mempunyai penduduk berjumlah lebih 60,000 orang terpaksa melarikan diri.
“Anggota kumpulan-kumpulan itu bertindak membakar rumah di bandar terbabit.
“seorang gadis muda terbunuh terkena serangan mortar dalam pertempuran tersebut.
“Bandar-bandar berkenaan kini lenggang ekoran pertempuran antara kedua-dua kumpulan penentang kerajaan itu'' jelas agensi tersebut.
ISIL dan Barisan Nusra sering bertempur bagi merebut lapangan minyak dan kedudukan strategik di Deir al-Zor, kawasan gurun yang bersempadan dengan Iraq.
Badan itu berkata, beratus-ratus pelarian dilaporkan tiba di Turki, namun kebanyakan mereka mencari perlindungan di kawasan lain di wilayah Deir Ezzor. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140505/lu_07/2-kumpulan-penentang-di-Syria-bertempur#ixzz30qyKLPU9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

‘Ulama di Syria lebih arif’


Kuala Lumpur: “Ulama di Syria lebih arif mengenai situasi mereka di sana, jadi kita perlu hormati pendirian dan nasihat mereka,” kata Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia Profesor Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor.

Menurut beliau, rakyat di negara ini tidak seharusnya menyempitkan maksud jihad dengan beranggapan beroleh syahid apabila mengangkat senjata menegakkan Islam di medan perang.

“Dalam dunia hari ini, penulisan mengenai kekejaman puak Syiah yang sangat zalim sama ada di media cetak dan elektronik pun sudah dikira jihad.

“Kita jangan mudah sangat terpedaya dengan ajakan pihak tertentu untuk berjihad di sana kerana kemungkinan mempunyai kepentingan lain yang memihak kepada Presiden Syria Basyar al-Assad,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini semalam.

Beliau mengulas laporan muka hadapan Harian Metro semalam mengenai ulama Syria yang berpengaruh Sheikh Sariah al-Rifaie yang menasihati rakyat Malaysia yang hendak berjihad di sana supaya membatalkan niat mereka.

Dalam temu bual ekslusif di Istanbul itu, Sheikh Sariah berkata, mereka menghargai niat rakyat negara ini, namun ia bukan kewajipan yang perlu dipikul kerana mempunyai bilangan mujahid yang cukup di Syria.

Beliau berkata, rakyat Syria wajib berjihad mempertahankan tanah air, keluarga dan harta benda sebaliknya kedatangan orang luar termasuk Malaysia mungkin akan diperalat pihak tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/05

Terpaksa lari


“Pada pandangan zahir saya, keadaannya terlalu gelap. Saya tak nampak cara Syria akan pulih dalam masa yang terdekat.”

Itu kata ulama Syria yang kini mencari perlindungan di Turki, Sheikh Sariah al-Rifaie ketika ditanya bila konflik antara puak Syiah dan Sunnah di negara kelahirannya itu akan berakhir.

“Cuma tinggal satu saja harapan saya...kepada Allah.



Hanya Allah saja yang mampu mengubah pendapat saya ini menjadi sebaliknya,” katanya dalam temu bual di sini baru-baru ini yang diaturkan oleh Muslim Care Malaysia.

Metro Ahad semalam melaporkan Sheikh Sariah antara ulama tersohor di Damsyik, Syria antara tokoh agama yang cuba berunding dengan pihak Presiden Bashar al-Assad di peringkat awal konflik bagi memulihkan keadaan sebelum akhirnya terpaksa lari keluar dari negara itu selepas mendapat maklumat beliau bakal ditangkap.

Menurutnya, keadaan di Syria kini terutama di beberapa wilayah seperti Allepo, Dar’a dan Homs masih tegang kerana terus menjadi sasaran bom barmel (tong dram) serta bon kimia rejim tentera Bashar.

Sheikh Sariah berkata, berikutan wujud banyak pasukan yang ditubuhkan rakyat untuk menentang Bashar, ada antara pasukan itu sebenarnya hanya ‘berlakon’ kerana mereka sebenarnya bersekongkol dengan kekejaman presiden kuku besi itu yang setakat ini sudah mengorbankan lebih 300,000 nyawa sejak konflik tercetus tiga tahun lalu.

Oleh itu, katanya, amat penting bagi semua pihak di luar Syria terutama Malaysia yang banyak memberi bantuan supaya berhati-hati dalam menerima maklumat mengenai perkembangan di negara itu.

“Jika ada mendakwa tentera dianggotai rakyat yang menentang Bashar sebagai pihak yang jahat dan kononnya menerima bantuan dari Amerika Syarikat, itu semua fitnah.

“Jangan dengar berita daripada sumber yang tidak betul.

Jika nak tahu berita yang betul tanya orang seperti saya kerana hanya kami yang terbabit secara langsung dengan konflik ini tahu apa sebenarnya berlaku...pihak mana yang benar dan pihak mana yang salah,” katanya.

Biarpun berada di luar Syria, Sheikh Sariah tidak berdiam diri bagi membantu rakyat negara itu yang tertindas dek kekejaman Bashar dan usaha terkini beliau selaku penaung Muassasah Zaid bin Thabit adalah membuka cawangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu di Malaysia tidak lama lagi.

Menurutnya, jika perancangan itu menjadi kenyataan kelak, pastinya rakyat Malaysia akan memperolehi maklumat lebih tepat mengenai Syria dan memastikan usaha menyalurkan bantuan dapat dilaksana dengan lebih berkesan.

Zaid bin Thabit yang berpejabat di sini akan bekerjasama dengan Muslim Care Malaysia dalam merealisasikan usaha itu dan perbincangan awal mengenainya sudahpun dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/05

Puluhan ribu warga Syria larikan diri

 Puluhan ribu warga Syria larikan  diri
Orang ramai melihat kawasan serangan dua bom kereta yang diletupkan di Homs, 29 April lalu. - Foto Reuters 
Damsyik: Berpuluh-puluh ribu warga Syria melarikan diri untuk mengelak daripada pertempuran antara kumpulan militan di timur ketika pemberontak kelmarin hampir mencapai persetujuan dengan kerajaan untuk berundur dari kubu kuat mereka di Homs.

Kira-kira 60,000 warga Syria sudah melarikan diri sejak Rabu lalu daripada tiga pekan untuk mengelakkan diri daripada pertempuran antara kumpulan berkaitan Al-Qaeda Barisan Hadapan Al-Nusra serta kumpulan yang menggelar diri mereka negara Islam Iraq dan Levant (ISIL), menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Sementara itu, rundingan membabitkan pengunduran pemberontak dari Homs, yang pernah dianggap ‘pusat revolusi’ memasuki fasa akhir, sehari selepas gencatan senjata bermula di bandar pusat strategik itu yang menyaksikan pertempuran sengit perang saudara Syria.



Assad berkuasa penuh

Pengunduran pemberontak akan memberikan Presiden Bashar al-Assad, kawalan penuh terhadap bandar itu dan tamparan terhadap kebangkitan yang bermula pada Mac 2011 menerusi tunjuk perasaan besar-besaran menuntut perubahan demokratik.

Namun, ia menular kepada pemberontakan apabila rejim melancarkan operasi membendung pemberontakan secara besar-besaran.
“Rundingan untuk membebaskan bandar Homs daripada kumpulan bersenjata masih berjalan dan akan berakhir tidak lama lagi,” kata gabenor wilayah Talal al-Barazi.

Abul Harith al-Khalidi, pemberontak yang bertanggungjawab melakukan rundingan berkata, perbincangan dilakukan sejajar dengan rundingan untuk membebaskan kumpulan yang terdiri daripada pegawai pro-rejim Iran yang ditahan pemberontak di bandar utara Aleppo. - AFP