Wednesday 12 March 2014

Syria negara paling bahaya di dunia

Syria negara paling bahaya di dunia
Ribuan kanak-kanak menjadi korban akibat perang saudara di Syria sejak 2011. 
12 Mac 2014

 NEW YORK - Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) memaklumkan bilangan kanak-kanak yang terjejas akibat krisis di Syria meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Lapor Press TV kelmarin, Unicef turut memaklumkan Syria kini merupakan salah sebuah tempat paling bahaya di dunia selepas tiga tahun negara itu terjerumus ke kancah perang saudara.

Berdasarkan angka dikeluarkan PBB, sekurang-kurangnya 10,000 kanak-kanak terbunuh sepanjang konflik itu dan jumlah sebenar didakwa mungkin jauh lebih tinggi.

Selain itu, agensi tersebut turut mendedahkan bahawa budak seawal 12 tahun telah direkrut untuk bertempur dan ada juga yang dipaksa menjadi pemberi maklumat, pengawal serta penyeludup senjata.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pernah menggesa semua parti di Syria menyambung semula rundingan damai bagi mencari jalan penyelesaian politik untuk menamatkan krisis di negara terbabit.