DAMSYIK - Seorang wakil Tentera Pembebasan Syria (FSA) melaporkan pihaknya akan meminta kereta kebal, pesawat pejuang dan senjata berat dari Amerika Syarikat.

Jurucakap Penyelaras Politik FSA Louay Meqdad dalam laporan Reuters berkata, permintaan itu dilakukan secara langsung dengan kadar segera kerana pihaknya amat memerlukan segala kelengkapan tersebut.

“Masyarakat antarabangsa perlu membantu kami dengan menggunakan semua kuasa yang ada kerana kami amat memerlukan bantuan dan sokongan ketika ini,” katanya.

Louay sebaliknya tidak mendedahkan tarikh mesyuarat itu kepada media namun  menyatakan mesyuarat itu akan dihadiri wakil AS dan sekutunya di Turki.

Tindakan itu dilakukan selepas Presiden Barack Obama mengarahkan Pentagon untuk menyalurkan bantuan senjata termasuk senapang, bom tangan dan peluru berpandu anti-kereta kebal dalam usaha menentang rejim Presiden Bashar al-Assad.

Penghantaran senjata itu akan dibuat melalui Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan pemindahan senjata berkenaan akan dilakukan di pangkalan rahsia tentera di Turki dan Jordan.